ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Monday 12 March 2007

SYED MOKHTAR AL-BUKHARY BUKTIKAN MELAYU BOLEH!

Senarai Bilionair Dunia Forbes bagi 2007, dengan nilai bersih harta individu antara AS$1.1 Bilion dan AS$7 Bilion telah menyenaraikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary 55, sebagai bilionair termuda dikedudukan ke 754 dengan harta bernilai AS$1.3 Bilion.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah melayu tunggal dalam senarai bilionair Forbes tersebut. Oleh itu beliau telah membuktikan bahawa orang melayu juga pandai berniaga.

Forbes menyifatkan Syed Mokhtar sebagai bilionair yang berjaya dengan usaha sendiri apabila bermula hanya sebagai peniaga beras. Hari ini beliau adalah peneraju Malaysia Mining Corporation (MMC) dan mempunyai pegangan dalam Johor Port, pengeluar kuasa bebas terbesar negara, Malakoff dan syarikat pengedaran gas asli, Gas Malaysia.

Sebenarnya kita tidak ketinggalan jauh daripada bangsa-bangsa yang lain. Apa yang perlu orang melayu lakukan adalah mengubah sikap dan lakukan penghijrahan minda. Perlu diingat tiada jalan pintas untuk berjaya.

Memetik kata-kata Perdana Menteri kita "Orang melayu lebih gemar berpolitik, khususnya untuk mendapatkan kuasa di dalam parti, hingga tergamak untuk melakukan apa saja daripada berebut-rebut jawatan, menyebarkan fitnah, hinggalah kepada mengata dan mengumpat. Saya malu apabila ada orang melayu yang cepat berputus asa dalam persaingan ekonomi, berbeza sungguh sikap mereka dalam politik, masing-masing berebut hendak mendapatkan kuasa sehingga sanggup melakukan apa saja"

Persaingan dan perancangan yang digunakan oleh orang melayu untuk menguasai politik tidak pula dilaksanakan mereka bagi menguasai ekonomi, sedangkan mereka bukannya tidak berupaya. Orang melayu terlalu cepat berputus asa dalam bersaing dan ramai yang mengambil jalan pintas dengan menjual apa yang diperolehi kepada bangsa lain dan kemudiannya mereka akan meminta lagi.

Sikap orang melayu yang mementingkan keuntungan segera melalui jalan pintas hanya dapat menghirup kuah sambil isinya dinikmati bangsa lain.

Orang melayu selalu berfikir biarlah mendapat untung sedikit daripada menanggung kerugian kerana mereka sebenarnya tiada kesungguhan, keyakinan mahupun kepakaran untuk melaksanakan sendiri projek hingga berjaya.

Inilah yang perlu diatasi oleh orang melayu. Kita mesti menerima hakikat dimana kedudukan kita sebenarnya. Kita tidak perlu merasa malu apabila gagal kerana ramai dikalangan kita sebenarnya adalah generasi pertama atau kedua yang memulakan perniagaan. Banyak perkara yang masih perlu kita pelajari.

Selagi kita tidak berputus asa, selagi itulah kita mempunyai peluang untuk menebus maruah kita. Kesediaan bijak pandai anak bangsa kita yang telah menamatkan pengajian peringkat tertinggi menceburi bidang perniagaan adalah petanda baik untuk kita memberikan persaingan.

Orang melayu bukannya tidak boleh berniaga tetapi mereka perlu membina keupayaan berteraskan ilmu yang boleh memberi keyakinan kepada mereka untuk bersaing.

Orang melayu perlu sedar mereka mestilah turut menguasai ekonomi untuk mengekalkan kuasa politik. Jika kuasa politik tidak membawa kepada kejayaan ekonomi, satu hari nanti tidak mustahil kuasa politik milik orang melayu akan hilang

Akhir sekali ingatlah "Hilang politik kerana tiada ekonomi, Sesat politik kerana tiada syariah"

HIDUP MELAYU!!! TAHNIAH TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY!!!

No comments: