ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Sunday, 25 March 2007

PILIHANRAYA OH! PILIHANRAYA (SIRI 2)

CERITA-cerita pilihanraya pada minggu ini dirancakkan lagi dengan pilihanraya kecil DUN Machap yang penamaan calonnya akan diadakan pada 3 April 2007 dan hari pengundiannya pula adalah pada 12 April 2007.

Pilihanraya kecil DUN Machap adalah begitu menarik untuk diperhatikan kerana nisbah pengundi antara kaum Cina dan kaum Melayu tidak banyak berbeza iaitu pengundi Cina 45.6%, Melayu 38.3%, India 15.3% dan lain-lain 0.7%.

Daripada cerita-cerita khabar angin yang mengatakan bahawa 60% pengundi Cina akan mengundi pembangkang pada kali ini membuatkan pilihanraya kecil ini lebih menarik untuk diperhati dan diperkatakan.

Sekiranya ini berlaku bermakna BN memerlukan lebih 65% undi kaum Melayu untuk memenangi pilihanraya kecil tersebut dengan mengambil kira kaum India dan lain-lain memberikan undi sama rata kepada BN dan juga pembangkang.

Pada minggu ini juga dua parti komponen BN iaitu Gerakan dan PPP bercakaran kerana berebut kerusi pilihanraya.

Cerita-cerita yang tak masuk akal seperti penggabungan antara Parti PAS dan UMNO juga bertiup kencang. Orang kata cerita-cerita yang tak masuk akal pun tidak boleh dipandang ringan di dalam politik kerana ianya boleh menjadi kenyataan.

Di dalam politik tiada yang mustahil kerana kalau lihat dari segi sejarah, Gerakan, PPP, dan PBS dulu pun adalah parti pembangkang sebelum menyertai BN. Parti PAS pula pernah berada dalam BN semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun Parti-parti pembangkang dan kerajaan sebenarnya boleh melupakan perbezaan fahaman politik, sebaliknya berkerjasama menghadapi isu-isu luar Negara, ekonomi, pendidikan dan kedaulatan Negara. Kita tidak harus terus berperang untuk mendapatkan pengaruh rakyat tanpa mempedulikan perkara-perkara tersebut.

Satu lagi isu yang menarik untuk dibincangkan pada minggu ini adalah pelawaan Parti PAS kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Kota Bharu. Kenapa Parlimen Kota Bharu dan tidak di Parlimen negeri-negeri yang lain?. Adakah ini petandanya parti PAS agak risau dengan sokongan rakyat Kelantan yang nampaknya memihak kepada BN.

Sekiranya perkara ini benar-benar terjadi, sama-samalah kita tunggu dan lihat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh merubah sokongan rakyat supaya terus menyokong pakatan Parti PAS dan PKR di Kelantan.

Bersambung……….

No comments: