Bagi saya cepat atau lambat bukanlah menjadi persoalan kerana ianya adalah hak mutlak Perdana Menteri yang akan menentukannya. Tidak payahlah kita berteka-teki kerana yang pastinya ia akan tiba juga. Arahan pemimpin-pemimpin atasan parti supaya menggerakkan aktiviti-aktiviti peringkat akar umbi bukanlah mencerminkan Pilihanraya sudah terlalu hampir.
Persiapan menghadapi Pilihanraya sama juga seperti persiapan untuk menghadapi peperiksaan. Ianya tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa, sebaliknya mestilah dilakukan dengan perancangan yang rapi.
Apabila tiba musim Pilihanraya, rakyat sekali lagi akan menjadi `raja’. Mereka akan diberikan perhatian khusus baik bagi pihak kerajaan ataupun pembangkang. Peruntukan datang mencurah-curah dan sekiranya menghadapi masalah, pertolongan datang tanpa perlu bersusah payah.
Di kala rakyat bersuka ria menyambut musim Pilihanraya inilah masanya untuk YB-YB berduka lara kerana terpaksa membuat kerja lebih masa. Lebih merisaukan takut-takut tidak dicalonkan semula oleh ketua masing-masing.
YB-YB yang telah melewati lebih dari dua penggal akan merayu kepada ketua masing-masing supaya diberikan peluang sekali lagi untuk terus memberikan khidmat kepada rakyat dan berjanji untuk penggal seterusnya akan diserahkan kepada muka-muka baru tanpa mereka sedari itulah janji yang telah mereka lafazkan pada penggal yang lepas.
Bagi YB-YB baru yang tidak menunjukkan prestasi yang baik pula akan merayu supaya diberikan peluang sekali lagi untuk menunjukkan kebolehan mereka memberikan khidmat kepada rakyat.
Bagi saya, baru atau lama YB-YB tersebut tidaklah penting, yang pentingnya prestasi mereka memberikan khidmat kepada rakyat perlulah dinilai. YB-YB yang bekerja sepenuh hati untuk memberikan khidmat kepada rakyat mestilah dicalonkan semula manakala YB-YB yang memberikan khidmat secara bermusim haruslah digantikan dengan muka-muka baru.
Bersambung………
No comments:
Post a Comment