ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Sunday 4 March 2007

UMNO : Kepadamu Aku Datang..... (Siri 3)

Seperti yang dinyatakan di dalam siri yang lepas, bapa mertuaku Awang @ Che Amat bin Sulong adalah bekas AJK UMNO Bahagian Tumpat, Kelantan Darul Naim. Di zaman aktifnya beliau pernah diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihanraya DUN dan Wakil Calon kepada bekas ahli Parlimen Tumpat iaitu Dato’ Dusuki Haji Ahmad yang merupakan bekas Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan selain Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Bunga Raya. Mengikut cerita beliau semasa pertandingan merebut Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan beliau sebenarnya berhadapan dengan dua orang YB. Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Pengerusi PIBG SRK Chabang Empat dan SMK Chabang Empat.

Mengimbas kembali musim pilihanraya, rumah mertuaku memang dijadikan markas pilihanraya. Aku ingat lagi rumah tersebut dibuka 24 jam. Disitulah tempat barisan pimpinan UMNO Bahagian Tumpat bermesyuarat, merangka strategi dan melepaskan penat. Persaingan antara UMNO dan PAS disana memang sengit. Selain daripada parti, peribadi calon juga dinilai oleh pengundi. Selalunya parti yang dapat menampilkan calon yang lebih baik peribadinya akan memenangi pertandingan.

Strategi juga memainkan peranan, parti yang bijak mengatur strategi dan memainkan isu akan berjaya. Strategi berbaik-baik dengan penyokong PAS dan seterusnya menyalurkan peruntukan kepada mereka dengan harapan untuk mendapat sokongan adalah strategi yang langsung tidak boleh diterima. Tindakan tersebut sebenarnya akan melukakan hati penyokong-penyokong setia UMNO dan keputusannya adalah `yang dikejar tak dapat manakala yang dikendong berciciran’.

Bukan senang untuk mengubah pendirian penyokong PAS, bagi mereka `PAS itu Islam dan Islam itu PAS’. Mengubah sokongan adalah sama seperti menukar agama bagi mereka. Strategi yang tepat adalah menjaga hati penyokong-penyokong setia UMNO dan jangan pedulikan penyokong PAS. Biarkan mereka dengan dunia mereka. Bagi menambah majoriti sediakanlah program-program bagi menarik pengundi-pengundi baru dan pengundi atas pagar.

Bersambung........

No comments: