Monday, 26 March 2007
MYKAD OH! MYKAD
SENYUM Kambing Utusan Malaysia hari ini (26 Mac 2007) menyatakan lebih 500,000 orang rakyat Malaysia masih belum menukar MyKad.
Sementara itu menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahman Ibrahim berkata sebahagian besar mereka yang belum menukar MyKad adalah pelajar yang menuntut di luar Negara dan terus bekerja di sana, banduan dan juga penagih dadah.
Sudah tentulah daripada angka tersebut, salah seorangnya adalah suami aku. Tetapi suami aku tidak lah tergolong di dalam kategori itu semua, cuma ini masalah sikap agaknya. Bukan nak mengata dia tapi dah banyak kali aku ingatkannya untuk menukar MyKad, Setiap kali aku ingatkan (mungkin bagi dia berleterlah tu!), dia kata “nantilah”, “ada masa lagi” dan akhirnya “bayar denda aje lah”.
Yang aku ingat bukan dia tak pernah pergi, dulu masa kecoh-kecoh tarikh akhir tukar MyKad diumumkan, dia pun sibuk jugalah pergi JPN, tapi bila tengok orang beratur panjang dia kata nanti bayar denda aje lah. Tak boleh nak tunggu, katanya kerja banyak. Jadi aku nak buat macamana, ikut aje lah.
Bila tarikh akhir dah lepas, orang pun dah reda, aku ingatkan lagi, tapi jawapannya masih juga macam tu, hinggalah sekarang tak tukar-tukar. Nasib lah….
Aku harap kalau dia terbaca tulisan ini, cepat-cepatlah pergi tukar MyKad tu, bukan lama pun prosesnya. Jangan sampai kerajaan bagi lagi tarikh akhir baru nak berkejar lagi sekali.
Berbalik kepada suami aku ni, kadang-kadang kesian juga, sibuknya orang kata mengalahkan menteri. Apa nak buat orang berniaga, bukan makan gaji. Tapi dia tak pernah nak mengeluh walaupun tidur pun terpaksa kena catu.
Dia selalu berkata padaku, kepuasan itu bukannya sekadar wang ringgit tetapi yang lebih penting adalah apabila kita dapat melakukan apa yang kita suka. Sebab tu lah dia tidak suka makan gaji….bekerja bawah orang. Tiada kebebasan katanya.
Sekarang walaupun penat tapi dia dapat melakukan apa yang dia suka dan dia cita-citakan. Cita-citanya besar, apabila kami membuka mini market dia nak kan mini market 24 Jam, katanya kita lawan 7-Eleven, kita tunjukkan anak melayu juga berkebolehan untuk bersaing.
Apabila dah buka 24 Jam, dia kata kita mesti ada rangkaian mini market sama seperti 7-Eleven, aku ikut aje, kami buka cawangan mini market berserta dengan kedai alat tulis, fotokopi, restoran dan siber café.
Percubaan pertama kami gagal dan apabila dikaji balik, kelemahannya adalah kerana kami tidak dapat mengawal tunai dan stok. Bila kami tinggal aje kedai-kedai tu, duit hilang, stok pun hilang.
Tetapi dia tidak pernah berputus asa, malah aku nampak dia semakin gigih. Katanya, kita ni baru generasi pertama atau kedua yang memulakan perniagaan. Datuk nenek kita dulu hanyalah petani, nelayan ataupun penoreh getah. Paling kuat pun kerja makan gaji dengan kerajaan.
Kita baru nak bermula sebagai peniaga, pengalaman kita tidak seberapa, kalau kita jatuh memang adatlah sebab kita tidak pernah diajar selok belok bidang perniagaan. Kita selalunya `try and error’, kata suamiku kalau kita tak sempat pun mengecapi apa yang kita lakukan pada hari ini, tetapi sekurang-kurangnya kita telah membuka jalan kepada generasi-generasi yang akan datang meneruskannya.
Sekurang-kurangnya mereka tidak lagi melakukan kesilapan-kesilapan yang telah kita lakukan. Sebab itulah cita-cita suamiku yang terakhirnya adalah ingin membukukan pengalaman-pengalaman kami di dalam menempuh cabaran di alam perniagaan.
Seperti yang aku katakan tadi, dia tidak pernah mengenal erti putus asa dan sentiasa memikirkan kaedah untuk mengembangkan perniagaan. Yang terbaru beliau sedang merancang untuk memperkenalkan mini market 24 Jam berkonsepkan `4 in 1'. Konsep tersebut tak boleh lah cerita dulu, katanya rahsia syarikat.
Dengan dibantu oleh mereka-mereka yang berpengetahuan di dalam pengkomputeran, dia sekarang sedang menguji keberkesanan penggunaan `Point of Sales System' (POS Sistem) bagi mengawal tunai dan juga stok sebelum meneruskan langkah untuk kali kedua……..
SELAMAT BERJAYA SUAMIKU!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment