ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA.....ROSHATIKA

Thursday, 29 March 2007

KERETA API LAJU PATUT BERAKHIR DI JOHOR BAHRU

Hari ini (29 Mac 2007) Utusan Malaysia melaporkan beberapa ahli Parlimen berpendapat kepentingan Negara khususnya rakyat di negeri Johor perlu diutamakan dalam membuat keputusan berhubung cadangan pembinaan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.

Sambil tidak menolak cadangan itu, mereka menegaskan, kesannya kepada rancangan pembangunan koridor selatan yang melibatkan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) perlu diambil kira.

Sehubungan dengan itu mereka berpendapat, jalan terbaik bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh rakyat dan Negara adalah dengan memastikan perkhidmatan kereta api laju berkenaan berakhir di Johor Bahru dan bukannya Singapura.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad yang mempersoalkan kewajaran penglibatan Singapura dalam projek tersebut berkata “Singapura pernah menolak cadangan pembinaan jambatan baru ke sana tetapi kini (apabila merasa projek kereta api laju itu menguntungkan mereka), maka mereka mahu projek kereta api laju ini berhenti di republik itu”.

Datuk Shahrir berpendapat kerajaan perlu berjaga-jaga dalam memikirkan program pembangunan agar tidak menjadi bahan ketawa.

Sementara itu ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, dengan berhenti di Johor Bahru, kerajaan dapat mengelak satu lagi perundingan dengan Singapura. Kita masih banyak urusan yang tertangguh. Selesaikan yang tertangguh dulu dan baru buka urusan baru.

Pada pandangan saya, kita perlu serik untuk berunding dengan Singapura. Sudah banyak pengajaran yang kita terima bila melakukan perundingan dengan mereka. Singapura hanya akan bersetuju dengan kita apabila sesuatu projek tersebut lebih menguntungkan mereka.

Mereka terlalu ego dan merasakan mereka lebih terkehadapan daripada kita. Mereka tidak dapat menerima kenyataan Negara-negara jiran mereka membangun dengan pesat. Dengan mengambil contoh jambatan bengkok, projek berkenaan sebenarnya memberikan keuntungan kepada kedua-dua buah negara tetapi mereka tidak bersetuju kerana kita mendapat untung yang lebih daripada mereka.

Kita sepatutnya melihat contoh bagaimana dua Negara jiran kita iaitu Indonesia dan Thailand telah mengajar Singapura dengan memulangkan paku buah keras. Pemerintah Indonesia dibawah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengambil keputusan mengejut dengan mengharamkan penjualan pasir kepada Singapura.

Pihak Indonesia menuduh kerajaan Singapura menggunakan pasir yang dibeli tersebut untuk meluaskan wilayahnya hingga hampir dengan sempadan daerah Indonesia.

Alasan kedua Indonesia adalah keenganan Singapura menandatangani perjanjian ekstradisi yang menyebabkan wang rasuah berjumlah berbilion dolar yang telah dibawa keluar oleh jutawan-jutawan Indonesia semasa krisis kewangan 1997-98 tidak dapat di bawa semula ke Republik Indonesia.

Mereka berpendapat kedegilan dan keengganan Singapura tersebut telah memperlekeh kewibawaan dan maruah pemimpin Indonesia.

Dan kini Thailand juga sudah sedar dan mula mahu mengajar Singapura. Kerajaan junta Thailand yang baru telah menuduh Singapura cuba mengintip kegiatan ketenteraan Thailand dengan membeli syarikat Shin Satelite (ShinSat) daripada bekas Perdana Menteri Thaksin melalui Temasek Holdings. Kerajaan junta di bawah pimpinan Jeneral Sonthi Boonyaratkalin dikatakan berazam dengan kuat untuk membeli kembali aset Negara tersebut.

Dan berita terakhir menyatakan pemerintah Singapura yang tidak tahan dengan desakan Thailand tidak keberatan untuk menjual semula semua kepentingannya dalam Shin Corp jika harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

Kita berharap selepas ini pemimpin Singapura akan lebih mengenali jiran-jirannya dan perlu lebih berlembut, adil, jangan terlalu angkuh, bertolak ansur dan melenyapkan terus sikap kiasu pemimpin mereka di dalam menghadapi rundingan dengan jiran tetangga.

No comments: